Link to home pageLanguagesLink to all Bible versions on this site
5
Damai dan sukacita
1 Oleh demikian, kerana kita telah diperbenar melalui iman, kita telah berdamai dengan Allah melalui Junjungan kita Isa al-Masih. 2 Melalui-Nya kita telah mencapai dengan iman kasih kurnia yang meliputi kita sekarang. Dan kita bersukacita dengan harapan akan kemuliaan Allah. 3 Bukan itu sahaja, tetapi kita juga bersukacita dengan penderitaan kita, kerana kita tahu bahawa penderitaan membina ketabahan. 4 Ketabahan membina budi pekerti; dan budi pekerti membina harapan. 5 Dan harapan tidak mengecewakan kita, kerana Allah telah mencurahkan kasih-Nya ke dalam hati kita melalui Roh Suci, yang telah dikurniakan-Nya kepada kita.

6 Lihatlah, tepat pada masanya, ketika kita masih tidak berdaya, al-Masih telah mati untuk orang yang fasiq. 7 Jarang sekali seseorang mahu mati untuk orang yang benar, meski untuk orang yang baik mungkin ada yang sanggup mati. 8 Tetapi Allah telah menunjukkan kasih-Nya sendiri terhadap kita dengan demikian: Ketika kita masih berdosa, al-Masih telah mati untuk kita.

9 Oleh sebab sekarang kita telah diperbenar dengan darah-Nya, lebih-lebih lagilah kita akan diselamatkan daripada kemurkaan Allah melalui-Nya. 10 Kerana jika semasa kita seteru Tuhan kita telah didamaikan dengan-Nya melalui kematian Putera-Nya, lebih-lebih lagilah, setelah didamaikan, kita akan diselamatkan melalui kehidupan-Nya! 11 Bukan ini sahaja, tetapi kita juga bersukacita dalam Allah melalui Junjungan kita Isa al-Masih yang melalui-Nya kita telah menerima pendamaian.

Mati kerana Adam, hidup kerana al-Masih
12 Oleh itu, sebagaimana dosa memasuki dunia ini melalui seorang manusia, dan dengan demikian kematian menimpa semua manusia, kerana semuanya berdosa. 13 Kerana sebelum hukum diberikan, dosa sudah ada di dunia. Tetapi dosa tidak diperhitungkan apabila hukum tidak ada. 14 Namun demikian, kematian telah bertakhta dari zaman Adam hinggalah zaman Musa, dan merajai semua orang termasuklah yang tidak melakukan pelanggaran sebagaimana yang telah dilakukan oleh Adam, yang merupakan gambaran Dia yang akan datang.

15 Tetapi pemberian tidaklah seperti pelanggaran. Kerana jika ramai manusia mati akibat pelanggaran seorang manusia, lebih-lebih lagilah kasih kurnia Allah dan pemberian melalui kasih kurnia seorang manusia, Isa al-Masih, melimpahi manusia yang banyak! 16 Demikian juga, pemberian Allah tidaklah seperti dosa seseorang manusia: Penghakiman datang selepas satu dosa dan membawa hukuman, tetapi pemberian itu datang selepas beberapa banyak pelanggaran yang membawa pembenaran. 17 Kerana jika dengan dosa seorang manusia, kematian telah bertakhta melalui seorang manusia itu, maka lebih-lebih lagilah orang yang menerima peruntukan kasih kurnia dan pemberian kebenaran Allah yang melimpah-limpah akan bertakhta dalam kehidupan melalui seorang manusia, Isa al-Masih.

18 Oleh demikian, sebagaimana satu pelanggaran itu membawa hukuman bagi semua manusia, maka satu perbuatan yang benar membawa pembenaran yang memberikan kehidupan bagi semua manusia. 19 Kerana sebagaimana melalui pelanggaran oleh seorang manusia, ramai telah menjadi berdosa, maka melalui ketaatan seorang Manusia, ramai akan diperbenar.

20 Hukum Taurat telah diadakan supaya pelanggaran bertambah. Tetapi dengan bertambahnya dosa, semakin bertambahlah kasih kurnia. 21 Oleh itu, sebagaimana dosa telah bertakhta dalam kematian, maka kasih kurnia akan bertakhta melalui kebenaran untuk membawakan kehidupan kekal melalui Isa al-Masih, Junjungan kita.

<- Rom 4Rom 6 ->