5 Dengan hati batumu yang tidak bertaubat, kamu mengumpul musibah kemurkaan Allah yang akan menimpamu pada hari kemurkaan dan ternyatanya hukuman Allah yang adil. 6 Allah akan ‘membalas kepada setiap orang setimpal dengan perbuatannya’. 7 Bagi mereka yang terus berbuat baik dengan sabar demi mendapatkan kemuliaan, kehormatan dan keabadian, Dia akan memberikan hidup yang kekal; 8 manakala bagi mereka yang mementingkan diri dan tidak taat akan kebenaran tetapi menjunjung kedurjanaan, maka kemarahan dan kemurkaan Allah akan menimpa mereka. 9 Kesusahan dan kesengsaraan akan menimpa diri setiap orang yang melakukan kedurjanaan: mula-mula kepada orang Yahudi, kemudian kepada orang bukan bani Israel juga; 10 tetapi kemuliaan, kehormatan dan kesejahteraan akan dicurahkan kepada setiap orang yang berbuat baik: mula-mula orang Yahudi, kemudian bangsa asing juga. 11 Allah tidak menghakimi berat sebelah.
12 Sekalian yang telah melakukan dosa tanpa mengenal hukum Taurat akan binasa tanpa hukum Taurat. Sekalian yang melakukan dosa sedangkan mereka mengenal hukum Taurat akan dihakimi menurut hukum Taurat. 13 Ini kerana orang yang benar di sisi Allah bukanlah mereka yang mendengar hukum Taurat, tetapi mereka yang mengamalkan ajarannya. 14 Apabila orang bukan bani Israel, yang tidak mempunyai hukum Taurat, secara tabii melakukan perkara-perkara yang terkandung di dalam hukum Taurat, maka mereka ini adalah hukum bagi diri mereka sendiri. 15 Hukum itu tersurat di hati mereka dan hati nurani mereka juga naik saksi. Fikiran mereka menuduh atau membela mereka, 16 pada hari Allah menghakimi segala rahsia manusia melalui Isa al-Masih, menurut Injil yang kuberitakan.
25 Persunatan memang bermanfaat jika kamu taat akan hukum Taurat; tetapi sekiranya kamu melanggar hukum Taurat, batallah persunatan itu. 26 Oleh yang demikian, jika seorang yang tidak bersunat mengamalkan perkara-perkara yang baik dalam hukum Taurat, tidakkah dia dikira sebagai telah bersunat? 27 Jika orang tidak bersunat mematuhi hukum Taurat, tidakkah dia menghakimi kamu kerana walaupun kamu mempunyai hukum bertulis dan persunatan namun kamu melanggar hukum itu?
28 Seseorang dikira Yahudi bukanlah berasaskan keadaan lahiriah; dan persunatan bukanlah bergantung pada keadaan jasmani. 29 Seseorang dikira orang Yahudi berasaskan keadaan batiniah; dan persunatan adalah di hati dan bersifat rohani bukan mengikut hukum yang tersurat dalam Taurat. Orang sedemikian mendapat pujian bukan daripada manusia tetapi daripada Allah.
<- Rom 1Rom 3 ->