2 Pilatus bertanya kepada-Nya, ‘Adakah Kamu Raja orang Yahudi?’ Isa menjawab, ‘Begitulah seperti katamu.’
3 Kemudian ketua-ketua imam melemparkan pelbagai tuduhan terhadap-Nya. 4 Pilatus bertanya lagi kepada-Nya, ‘Tidakkah Engkau mahu menjawab apa-apa? Lihat betapa banyaknya tuduhan mereka terhadap-Mu?’
5 Tetapi Isa masih tidak menjawab sepatah pun, sehingga Pilatus kehairanan.
6 Pada waktu perayaan, lazimnya Pilatus membebaskan seorang banduan dari penjara, iaitu sesiapa yang diminta oleh mereka. 7 Ada seorang bernama Barabas yang dirantaikan bersama beberapa orang pemberontak lain. Mereka telah melakukan pembunuhan dalam pemberontakan itu. 8 Orang ramai mula berseru lantang meminta Pilatus membebaskan seorang daripada penjara seperti yang biasa dilakukannya.
9 Pilatus bertanya, ‘Adakah kamu mahu aku membebaskan kepadamu Raja orang Yahudi?’ 10 kerana dia tahu bahawa ketua-ketua imam telah menyerahkan Isa kepadanya kerana iri hati. 11 Tetapi ketua-ketua imam menghasut orang ramai supaya meminta Barabas dibebaskan kepada mereka.
12 Pilatus berkata kepada mereka, ‘Kalau begitu, apa yang kamu mahu kulakukan kepada Dia yang kamu panggil Raja orang Yahudi?’
13 Mereka berseru lagi dengan kuatnya, ‘Salibkan Dia!’
14 Kata Pilatus kepada mereka, ‘Mengapa? Apakah kejahatan yang telah dilakukan-Nya?’
15 Oleh itu, untuk memuaskan hati orang ramai itu, Pilatus membebaskan Barabas kepada mereka. Setelah menyebat Isa, dia menyerahkan-Nya untuk disalib.
25 Mereka menyalib-Nya pada pukul sembilan pagi. 26 Tuduhan terhadap-Nya tertulis di atas: RAJA ORANG YAHUDI. 27 Mereka menyalib dua orang perompak bersama Isa, seorang di kanan dan seorang lagi di kiri-Nya. 28 Dengan demikian berlakulah apa yang tersurat di dalam Kitab Suci: ‘Dan Dia digolongkan dengan penjahat.’ 29 Semua orang yang lalu di situ menggeleng-gelengkan kepala sambil mengejek Isa. Mereka berkata, ‘Kamu mahu memusnahkan rumah ibadat dan membinanya semula dalam tiga hari! 30 Sekarang turunlah dari salib itu dan selamatkanlah diri-Mu!’
31 Ketua-ketua imam dan guru-guru Taurat juga mempermainkan Isa. Mereka berkata sesama sendiri, ‘Dia menyelamatkan orang, tetapi tidak dapat menyelamatkan diri-Nya sendiri! 32 Kiranya Dia Raja orang Yahudi dan al-Masih, turunlah dari salib, supaya kami melihat dan percaya kepada-Nya!’ Orang yang disalib bersama Isa pun mencela-Nya.
35 Beberapa orang di situ mendengar seruan itu dan berkata, ‘Dengarlah, Dia memanggil Ilyas.’
36 Seorang daripada mereka berlari mengambil span lalu mencelupnya ke dalam air anggur murah. Kemudian dia mencucukkan span itu di hujung sebatang mensiang dan menawarkannya kepada Isa untuk minum, sambil berkata, ‘Kita menunggu, kalau-kalau Ilyas datang menurunkan-Nya dari salib.’
37 Isa berteriak dengan kuat lalu menghembuskan nafas terakhir.
38 Sejurus kemudian, tirai di dalam rumah ibadat terbelah dua, dari atas hingga ke bawah. 39 Ketua tentera yang berdiri di hadapan salib itu melihat semua ini lalu berkata, ‘Benarlah Dia Putera Allah!’
40 Beberapa orang wanita menyaksikan segala-galanya dari jauh. Antara mereka ialah Salome, Maryam Magdalena, serta Maryam ibu Yakobus Muda dan Yoses. 41 Mereka wanita-wanita yang mengikut dan menolong Isa ketika Dia di Galilea. Ada ramai juga wanita yang datang dengan Isa ke Baitulmaqdis.