Link to home pageLanguagesLink to all Bible versions on this site
8
Seorang yang mengidap penyakit kusta
1 Isa turun dari bukit itu dan ramai orang mengikut-Nya. 2 Seorang yang mengidap penyakit kusta datang bersujud di hadapan-Nya sambil berkata, ‘Tuan, sekiranya Tuan mahu, Tuan dapat menyembuhkanku.’

3 Isa menghulurkan tangan-Nya dan menyentuh orang itu sambil berkata, ‘Aku rela. Sembuhlah!’ Pada saat itu juga penyakitnya hilang. 4 Lalu Isa berkata kepadanya, ‘Dengarlah, jangan beritahu sesiapa tentang perkara ini. Pergilah dan tunjukkan dirimu kepada seorang imam. Selepas itu persembahkan korban sebagaimana diperintahkan oleh Musa, sebagai kesaksian kepada mereka.’

Iman seorang ketua tentera
5 Ketika Isa sampai di Kapernaum, seorang ketua tentera Rom menjumpai-Nya dan merayu kepada-Nya: 6 ‘Junjungan, hambaku sakit di rumah, terlantar di katil tidak dapat bergerak, dan amat derita.’

7 Isa menjawab, ‘Baiklah, Aku akan pergi menyembuhkannya.’

8 Tetapi ketua tentera itu berkata, ‘Usahlah Junjungan datang ke rumahku. Aku tidak layak menyambut Junjungan sebagai tamu. Perintahkanlah sahaja, tentu dia akan sembuh. 9 Aku juga di bawah perintah pegawai atasan tentera, dan ada askar di bawah tanganku. Apabila aku menyuruh seorang askar, “Pergi!” dia pun pergi. Apabila aku menyuruh askar lain, “Mari!” dia pun datang. Apabila aku menyuruh hambaku, “Buat ini!” dia melakukannya.’

10 Isa terkagum mendengarnya lalu berkata kepada orang ramai yang mengikut-Nya, ‘Belum pernah Kutemui orang yang demikian teguh imannya, walau di Israel pun. 11 Ketahuilah! Ramai orang akan datang dari timur dan barat lalu duduk menikmati jamuan bersama Ibrahim, Ishak dan Yakub dalam kerajaan syurga. 12 Sebaliknya anak-anak kerajaan itu akan dihumbankan ke dalam kegelapan di luar; di sana akan terdapat ratapan dan kertakan gigi.’

13 Lalu Isa berkata kepada ketua tentera itu, ‘Pulanglah! Apa yang kamu percayai itu akan terjadi.’ Pada ketika itu juga sembuhlah hamba ketua tentera itu.

Isa menyembuhkan ramai orang
14 Isa pergi ke rumah Petrus. Dia melihat ibu mertua Petrus terbaring di katil kerana demam. 15 Apabila Isa menyentuh tangannya, serta-merta demamnya hilang. Dia pun bangun, dan melayan Isa.

16 Setelah hari petang, ramai orang yang dirasuk roh iblis dibawakan kepada Isa. Isa menghalau roh-roh iblis itu dengan sepatah kata sahaja. Dia juga menyembuhkan semua yang sakit. 17 Isa melakukan semua itu supaya terjadilah apa yang dikatakan oleh Nabi Yasyaya:

 
‘Dialah yang membawa kelemahan kita
dan menanggung penyakit kita.’
 
Mengikut Isa
18 Apabila Isa melihat orang ramai di sekeliling-Nya, dia pun menyuruh para pengikut-Nya pergi ke seberang laut itu. 19 Seorang guru Taurat mendapatkan Isa lalu berkata, ‘Tuan Guru, aku sanggup mengikut-Mu ke mana-mana saja.’

20 Isa menjawab, ‘Musang ada lubangnya dan burung ada sarangnya, tetapi Putera Insan tidak ada tempat untuk berehat.’

21 Seorang pengikut lain berkata, ‘Junjungan, izinkanlah aku pulang dahulu untuk menguburkan jenazah bapaku.’

22 Tetapi Isa menjawab, ‘Ikutlah Aku. Biarlah orang mati menguburkan orang mati mereka.’

Isa menenangkan badai
23 Isa menaiki sebuah perahu, dan diikut oleh pengikut-pengikut-Nya. 24 Tiba-tiba badai melanda dan ombak mengganas sehingga perahu dipenuhi air. Ketika itu Isa sedang tidur. 25 Para pengikut Isa datang membangunkan-Nya. Mereka berkata, ‘Ya Junjungan, selamatkan nyawa kami semua daripada maut!’

26 Isa menjawab, ‘Mengapakah kamu takut? Begitu tipis kepercayaanmu kepada-Ku!’ Dia pun bangun memarahi angin dan ombak itu. Serta-merta semuanya tenang sekali.

27 Para pengikut Isa tercengang lalu berkata, ‘Angin dan ombak pun mengikut perintah-Nya. Siapakah sebenarnya Dia ini?’

Isa menghalau roh iblis
28 Setelah tiba di seberang, di daerah Gadara, Isa didekati oleh dua orang yang dirasuk roh iblis. Mereka keluar dari gua kubur. Kedua-duanya begitu ganas sehingga orang tidak berani lalu di situ. 29 Apabila mereka melihat Isa, mereka berseru, ‘Apakah yang akan Kaulakukan kepada kami, hai Putera Allah? Adakah Engkau hendak menghukum kami sebelum sampai masanya?’

30 Ada sekawan babi sedang makan agak jauh dari situ. 31 Roh-roh iblis itu merayu kepada Isa, ‘Jika Engkau hendak menyuruh kami keluar, suruhlah kami masuk ke dalam tubuh babi sekawan itu.’

32 Dan Isa memerintah roh-roh itu, ‘Pergilah’. Maka roh-roh itu pun keluar lalu memasuki babi-babi itu. Seluruh kawanan babi itu pun lari ke pinggir jurang laut lalu terjun dan mati lemas. 33 Penjaga-penjaga babi itu lari ke bandar lalu menceritakan hal itu serta apa yang telah terjadi kepada kedua-dua orang yang dirasuk roh iblis itu. 34 Seluruh penduduk bandar itu pun datang berjumpa dengan Isa dan memohon-Nya pergi dari situ.

<- Matius 7Matius 9 ->