Link to home pageLanguagesLink to all Bible versions on this site
15
Perintah Allah dan adat istiadat
1 Setelah itu beberapa orang Farisi dan guru Taurat dari Baitulmaqdis datang mendapatkan Isa lalu bertanya, 2 ‘Mengapa pengikut-Mu melanggar adat nenek moyang kita? Mereka tidak membasuh tangan sebelum makan!’

3 Isa menjawab, ‘Mengapa kamu membelakangi perintah Allah demi mematuhi adat istiadatmu? 4 Allah berfirman, “Hormatilah ibu bapamu” dan “Orang yang mencaci ibu bapanya mesti dihukum mati.” 5 Sebaliknya kamu mengajar, “Jika seseorang berkata kepada ibu bapanya, ‘Apa yang patut kugunakan untuk menolong ayah dan ibu, telah kupersembahkan kepada Allah,’ 6 maka tidak perlulah orang itu menghormati ibu bapanya. Demikianlah kamu menyatakan Firman Allah tidak berlaku atas sebab adat istiadatmu.” 7 Kamu munafik! Benarlah nubuat Nabi Yasyaya tentangmu:

 
8 “Allah berfirman: Bangsa ini
menghormati-Ku dengan kata-kata
tetapi hati mereka jauh daripada-Ku.
9 Sia-sialah mereka menyembah-Ku,
sedangkan ajaran yang mereka ajarkan
ialah peraturan manusia.” ’
 
10 Kemudian Isa memanggil orang ramai itu lalu berkata kepada mereka, ‘Dengar dan fahamlah! 11 Apa yang masuk ke mulut seseorang tidak menajiskannya, tetapi apa yang keluar dari mulutnya, itulah yang menajiskannya.’

12 Selepas itu para pengikut Isa mendapatkan-Nya dan berkata, ‘Junjungan, tahukah Engkau bahawa orang Farisi tersinggung dengan kata-kata-Mu?’

13 Isa menjawab, ‘Segala tanaman selain yang ditanam oleh Bapa-Ku di syurga akan dicabut. 14 Jangan hiraukan orang Farisi. Mereka itu orang buta yang memimpin orang buta. Apabila orang buta memimpin orang buta, kedua-duanya masuk ke dalam parit.’

15 Petrus berkata, ‘Terangkanlah maksud ibarat tadi kepada kami.’

16 Isa berkata kepada para pengikut-Nya, ‘Kamu masih tidak faham. 17 Tidakkah kamu mengerti? Apa yang masuk ke dalam mulut seseorang turun ke perut lalu keluar semula. 18 Sebaliknya, apa yang keluar dari mulut datang dari hati, dan inilah yang menajiskan. 19 Dari hati timbul fikiran jahat yang mendorong seseorang membunuh, berzina, berbuat cabul, mencuri, memberikan kesaksian palsu, dan memfitnah. 20 Segala itulah yang menajiskan, bukan makan dengan tidak membasuh tangan mengikut adat.’

Wanita Kanaan yang percaya
21 Isa beredar dari situ, dan pergi ke kawasan berhampiran bandar Tirus dan Sidon. 22 Seorang wanita Kanaan yang tinggal di situ datang mendapatkan Isa sambil berseru, ‘Wahai Tuan, Anak Daud! Kasihanilah aku! Anak perempuanku dirasuk roh iblis, dan menderita!’

23 Isa diam tidak menjawab. Para pengikut-Nya memohon kepada-Nya, ‘Suruhlah wanita itu pergi. Dia mengikut kita meraung-raung.’

24 Isa berkata kepada wanita itu, ‘Aku diutus khusus kepada orang Israel yang seperti domba sesat.’

25 Wanita itu mendekati Isa dan menyembah-Nya sambil berkata, ‘Tuan, tolonglah aku.’

26 Isa menjawab, ‘Tidaklah wajar mengambil makanan anak-anak dan mencampakkannya kepada anak-anak anjing.’

27 ‘Benar, Tuan,’ balas wanita itu, ‘tetapi anak-anak anjing pun makan sisa yang jatuh dari meja tuannya.’

28 Oleh yang demikian Isa berkata kepadanya, ‘Kamu seorang wanita yang teguh iman. Apa yang kamu inginkan itu akan berlaku.’ Serta-merta anak wanita itu pulih.

Isa menyembuhkan ramai orang
29 Isa beredar dari situ lalu berjalan menyusur pesisiran Laut Galilea. Setelah itu Dia mendaki sebuah bukit dan duduk di situ. 30 Ramailah yang datang mendapatkan-Nya, membawa orang yang tempang, buta, lumpuh, bisu dan yang mengidap pelbagai penyakit. Isa menyembuhkan mereka. 31 Orang ramai tercengang melihat yang bisu bercakap, yang cacat dipulihkan, yang tempang berjalan, dan yang buta melihat, lalu mereka memuji Tuhan orang Israel.
Empat ribu orang diberi makan
32 Isa memanggil para pengikut-Nya lalu berkata, ‘Aku kasihan kepada orang ramai ini. Sudah tiga hari mereka bersama-Ku; sekarang mereka kehabisan makanan. Aku tidak mahu menyuruh mereka pulang dengan perut kosong, kalau-kalau pengsan nanti di tengah jalan.’

33 Para pengikut-Nya berkata, ‘Di manakah dapat kami cari makanan yang cukup untuk orang seramai itu sedangkan kawasan ini terpencil?’

34 Isa bertanya, ‘Berapa banyak roti yang ada padamu?’

‘Tujuh buku,’ sahut mereka, ‘dan beberapa ekor ikan kecil.’

35 Isa menyuruh orang ramai itu duduk di atas tanah. 36 Dia mengambil tujuh buku roti dan ikan itu, mengucap syukur kepada Allah lalu membahagikan makanan itu dan menghulurkannya kepada para pengikut-Nya untuk diberikan kepada orang ramai. 37 Setiap orang makan sehingga kenyang, malah lebihan makanan yang dikumpulkan oleh para pengikut-Nya tujuh bakul. 38 Jumlah yang makan empat ribu orang lelaki; belum dikira wanita dan kanak-kanak. 39 Setelah itu Isa menyuruh orang ramai itu pulang, lalu Dia berperahu ke daerah Magadan.

<- Matius 14Matius 16 ->