12 ‘Ada banyak lagi yang ingin Kukatakan kepadamu, tetapi kamu belum berupaya menerimanya. 13 Tetapi apabila Dia, iaitu Roh Kebenaran, datang Dia akan membimbingmu ke arah segala kebenaran. Roh itu tidak akan mengatakan sesuatu menurut kehendak-Nya sendiri. Dia akan menyampaikan apa yang didengar-Nya dan memberitahumu apa yang akan terjadi. 14 Roh itu akan memuliakan-Ku, kerana Dia akan menerima apa yang berasal daripada-Ku dan menyatakannya kepadamu. 15 Segala milik Bapa-Ku milik-Ku juga. Maka itulah Kukatakan bahawa Dia akan menerima apa yang berasal daripada-Ku dan menyatakannya kepadamu.’
16 Isa berkata, ‘Tidak lama lagi, kamu tidak akan melihat-Ku dan tidak lama kemudian, kamu akan melihat-Ku.’
19 Isa tahu bahawa mereka ingin bertanya kepada-Nya. Lalu kata-Nya kepada mereka, ‘Tadi Aku berkata, “Tidak lama lagi kamu tidak akan melihat-Ku, dan tidak lama kemudian kamu akan melihat-Ku.” Adakah kamu mempersoalkan kata-Ku itu? 20 Sesungguhnya Aku berkata kepadamu, kamu akan menangis dan meratap, tetapi dunia akan bersuka ria. Kamu akan bersedih, namun kesedihanmu akan berubah menjadi kegembiraan. 21 Apabila seorang perempuan hendak melahirkan anak, dia menderita kesakitan kerana masanya sudah tiba. Tetapi sebaik sahaja anak itu lahir, dia lupa akan penderitaannya. Dia bersukacita kerana seorang anak telah lahir ke dunia. 22 Begitulah juga kamu bersedih sekarang, tetapi Aku akan menemui kamu lagi. Hatimu akan dipenuhi kegembiraan, yang tidak dapat diragut oleh sesiapapun. 23 Pada ketika itu, kamu tidak akan bertanya apa-apa lagi kepada-Ku. Sesungguhnya Aku berkata kepadamu, apa sahaja yang kamu minta dalam nama-Ku, Bapa akan mengurniakannya kepadamu. 24 Hingga saat ini belum pernah kamu minta sesuatu dalam nama-Ku. Mintalah, kamu akan menerimanya dan sempurnalah kegembiraanmu.
25 ‘Aku telah mengatakan semua ini kepadamu secara kiasan. Tetapi akan sampai ketikanya Aku tidak lagi menggunakan kiasan; Aku akan berterus-terang kepadamu tentang Bapa. 26 Pada hari itu, kamu akan meminta dalam nama-Ku. Aku tidak berkata Aku akan meminta kepada Bapa bagi pihakmu. 27 Bapa sendiri mengasihimu, kerana kamu mengasihi-Ku dan percaya Aku datang daripada Bapa. 28 Aku memang berasal daripada Bapa dan datang ke dunia. Tetapi sekarang Aku meninggalkan dunia ini dan pulang semula kepada Bapa.’
29 Para pengikut-Nya berkata, ‘Sekarang barulah Junjungan bercakap terus-terang, tanpa menggunakan kiasan. 30 Sekarang kami faham bahawa Junjungan mengetahui segala-galanya dan sesiapapun tidak perlu lagi bertanya apa-apa kepada-Mu. Oleh itu kami percaya bahawa Junjungan datang daripada Allah.’
31 Isa berkata kepada mereka, ‘Percayakah kamu sekarang? 32 Saatnya akan datang, malah sudahpun sampai, ketika kamu akan bertempiaran. Kamu akan menjaga diri masing-masing, dan meninggalkan Aku keseorangan. Tetapi sebenarnya Aku tidaklah keseorangan, kerana Bapa bersama-Ku.
33 ‘Segala ini Kukatakan kepadamu supaya kamu beroleh sejahtera di dalam Aku. Di dalam dunia kamu akan menghadapi pancaroba; tetapi tabahkanlah hatimu, kerana Aku telah menewaskan dunia.’
<- Yahya 15Yahya 17 ->