Ibrani
1
Allah berfirman melalui Putera-Nya
1 Allah telah berfirman pada pelbagai zaman dan dengan aneka cara kepada nenek moyang kita melalui nabi-nabi. 2 Tetapi pada akhir zaman ini Allah telah berfirman kepada kita melalui Putera-Nya, yang telah dijadikan-Nya pewaris kepada segala-galanya; melalui Putera-Nya itu Allah telah mencipta alam semesta. 3 Putera itu adalah sinar gemilang kemuliaan Allah dan gambaran sempurna kewujudan-Nya. Dia memelihara segala-segalanya dengan kekuasaan firman-Nya. Setelah menghapuskan dosa kita melalui diri-Nya sendiri, Dia duduk di sebelah kanan Yang Maha Mulia yang bertakhta di syurga. 4 Diri-Nya jauh lebih baik daripada para malaikat; kerana melalui warisan, Dia telah mendapat nama yang lebih cemerlang daripada mereka.
5 Kepada malaikat manakah Allah pernah berfirman:
‘Engkau Putera-Ku,
pada hari ini Aku menjadi Bapa-Mu’?
Dan juga:
‘Aku akan menjadi Bapa-Nya,
dan Dia akan menjadi Putera-Ku’?
6 Selanjutnya, apabila Allah menghantar semula putera sulung-Nya ke dalam dunia maka firman-Nya:
‘Hendaklah semua malaikat Allah menyembah-Nya.’
7 Dan tentang para malaikat, Dia berfirman:
‘Dia menjadikan para malaikat-Nya angin,
dan para pelayan-Nya nyala api.’
8 Tetapi tentang Putera itu Dia berfirman:
‘Takhta-Mu, Ya Allah,
kekal selama-lamanya;
Tongkat kebenaran adalah tongkat
kerajaan-Mu.
9 Engkau telah mencintai kebenaran dan
membenci kejahatan;
Oleh itu Allah, Tuhan-Mu,
telah mengurapi-Mu
dengan minyak kebahagiaan lebih
daripada teman-teman-Mu.’
10 Dan:
‘Pada mulanya, Engkau, Tuhanku,
yang meletakkan asas bumi,
dan seluruh langit adalah hasil
kerja tangan-Mu;
11 Bumi dan langit akan binasa,
tetapi Engkau kekal;
dan segalanya akan menjadi
usang seperti pakaian;
12 Seperti jubah, Engkau akan
menggulungnya;
seperti baju yang ditukar,
semuanya akan diubah.
Tetapi Engkau tetap sama,
dan zaman-Mu tidak berkesudahan.’
13 Tetapi kepada malaikat manakah Allah pernah berfirman:
‘Duduklah di sebelah kanan-Ku,
sehingga Aku menjadikan
musuh-Mu alas kaki-Mu’?
14 Bukankah semua malaikat itu roh-roh pelayan yang dihantar untuk melayani manusia yang akan mewarisi penyelamatan?
Ibrani 2 ->