Link to home pageLanguagesLink to all Bible versions on this site
27
Pelayaran Paulus ke Rom
1 Setelah diputuskan bahawa kami akan belayar ke Itali, Paulus dan beberapa orang tahanan diserahkan kepada seorang ketua tentera dari Rejimen Kaisar, bernama Yulius. 2 Kami menaiki sebuah kapal yang datang dari Adramitium dan hendak menyusur teluk rantau tanah Asia. Aristarkhus, orang Makedonia dari Tesalonika, menyertai kami.

3 Esoknya kami singgah di Sidon. Yulius berasa kasihan dan melayani Paulus dengan baik serta membenarkannya bertemu dengan sahabat-sahabatnya untuk mendapatkan apa-apa yang diperlukannya. 4 Kemudian kami belayar menyusur Siprus di sebelah bawah angin, kerana ketika itu angin bertiup ke arah yang bertentangan dengan hala tujuan kami. 5 Setelah menyeberang laut Kilikia dan Pamfilia, kami sampai ke Mira di tanah Likia. 6 Di sana ketua tentera Kaisar itu mendapati sebuah kapal dari Iskandaria yang hendak belayar ke Itali, lalu dia menumpangkan kami dalam kapal itu. 7 Kami belayar dengan lambat dan susah payah kerana melawan arah tiupan angin. Selepas beberapa hari, kami tiba di kota Knidus. Oleh sebab masalah angin itu, kami belayar ke selatan pulau Kreta, melalui Salmone. 8 Dengan susah payah juga kami menyusur pulau itu, lalu sampai ke tempat yang bernama Lindungan Indah, berdekatan Lasea.

9 Beberapa hari kemudian, keadaan kian berbahaya untuk meneruskan pelayaran. Hari Raya Puasa orang Yahudi pun sudah berlalu. Paulus mengingatkan ketua tentera itu, 10 ‘Saudara-saudara, pada pandanganku, jika kita belayar, banyak bencana dan kerugian akan menimpa, bukan sahaja kapal ini dan muatannya malah nyawa kita juga.’ 11 Tetapi ketua tentera itu lebih mempercayai kata kapten dan tuan punya kapal itu daripada kata Paulus. 12 Pelabuhan itu memang tidak selesa untuk tinggal sepanjang musim dingin. Oleh itu kebanyakan mereka hendak meneruskan pelayaran dengan harapan akan sampai ke Feniks lalu tinggal di situ, di pelabuhan di pulau Kreta yang menghadap barat daya dan barat laut.

Kapal terkandas
13 Apabila bertiup angin selatan sepoi-sepoi bahasa, sangka mereka telah tercapailah hasrat mereka. Mereka pun membongkar sauh lalu menyusur pulau Kreta. 14 Tidak berapa lama kemudian, angin ribut yang bergelar Timur Laut membadai dari arah pulau itu. 15 Kapal kami dipukul ribut dan tidak terdaya belayar melawan arah angin. Kami pun membiarkannya berhanyut, 16 sampai ke selatan sebuah pulau kecil bernama Kauda. Dengan susah payah kami menyelamatkan sekoci kapal itu. 17 Setelah dinaikkan sekoci itu ke kapal, diusahakan memperkukuh kapal itu dengan ikatan tali. Oleh sebab takut terdampar ke tebing Sirtis, layar diturunkan dan kapal itu dibiarkan mengikut angin. 18 Kami begitu teruk dipukul ribut sehingga esoknya muatan kapal mula dibuang ke laut; 19 dan lusanya sebahagian alat kapal itu pula dibuangkan. 20 Beberapa hari kami tidak melihat matahari dan bintang serta dipukul ribut yang dahsyat; akhirnya putuslah harapan kami diselamatkan.

21 Sekian lama orang di dalam kapal itu tidak makan, lalu Paulus berdiri dan berkata, ‘Saudara-saudara, sepatutnya dulu saudara-saudara menurut kataku, jangan belayar meninggalkan Kreta, nanti ditimpa bencana dan kerugian demikian. 22 Sekarang aku berkata kepada saudara-saudara, tetapkan hati masing-masing, kerana seorang pun tidak akan kehilangan hidup, hanya kapal ini tidak dapat diselamatkan. 23 Malam tadi, di sisi aku terdiri malaikat daripada Allah, Tuhan yang memiliki seluruh diriku dan yang aku sembah. 24 Malaikat itu berkata, “Paulus, jangan takut. Kau pasti akan berdiri di hadapan Kaisar. Semua yang belayar bersamamu akan diselamatkan juga sebagai kurnia Allah kepadamu.” 25 Oleh itu, saudara-saudara, tetapkanlah hati masing-masing. Aku percaya akan Allah dan janji-Nya yang disampaikan kepadaku itu. 26 Tetapi tidak dapat dielakkan, kita akan terdampar di sebuah pulau.’

27 Sampai ke malam yang keempat belas kami masih berhanyut dalam Laut Adria. Kira-kira tengah malam, anak kapal merasakan kami sudah hampir ke darat. 28 Mereka membuang batu duga untuk mengukur dalamnya laut, didapatinya dua puluh depa; kemudian, apabila diduga lagi, didapatinya lima belas depa dalamnya. 29 Mereka takut kalau-kalau terdampar pada batu karang, lalu mereka menurunkan empat sauh dari buritan kapal serta menanti hari siang. 30 Ketika itu anak kapal hendak menyelamatkan diri sendiri. Mereka menurunkan sekoci ke laut dengan berpura-pura hendak menurunkan sauh di haluan kapal. 31 Paulus pun berkata kepada ketua tentera dan askar-askar, ‘Jika mereka itu meninggalkan kapal, saudara-saudara tidak akan selamat.’ 32 Oleh itu askar mengerat tali sekoci dan membiarkannya hanyut.

33 Sementara menunggu hari siang, Paulus meminta semua orang makan. Dia berkata, ‘Sekarang sudah empat belas hari saudara-saudara berlapar. 34 Aku meminta kepada sekalian, makanlah sesuatu, kerana itulah yang akan membuat saudara-saudara selamat. Tiada seorang pun di antara kita yang akan binasa sehelai rambutnya pun.’ 35 Setelah berkata demikian, Paulus mengambil roti lalu mengucapkan syukur kepada Allah di hadapan semua. Kemudian dia membahagi roti itu lalu makan. 36 Masing-masing pun berasa bersemangat lagi lalu makan bersama-sama. 37 Bilangan kami yang di dalam kapal itu dua ratus tujuh puluh enam orang. 38 Setelah kenyang sekaliannya, kapal itu diringankan lagi dengan membuang gandum ke laut.

39 Apabila hari siang, mereka melihat daratan yang tidak dikenali; di situ ada teluk yang berpantai rata lalu mereka bercadang hendak mengandaskan kapal itu ke situ. 40 Mereka memotong tali sauh dan membiarkannya tenggelam di laut. Selepas itu mereka melucutkan tali kemudi lalu menaikkan layar di haluan supaya angin meniup kapal itu menuju ke pantai. 41 Kapal itu terlanggar busung pasir lalu terkandas haluannya, dan tidak dapat bergerak manakala buritannya pecah dipukul gelombang. 42 Askar-askar mula berura-ura hendak membunuh semua orang tahanan supaya tidak seorang pun berenang melarikan diri.

43 Tetapi ketua tentera itu hendak menyelamatkan Paulus lalu melarang askar-askarnya berbuat demikian. Dia menyuruh mereka yang tahu berenang terjun dahulu dan berenang ke darat. 44 Yang lain berpegang pada papan atau pecahan-pecahan kapal. Dengan demikian semuanya selamat naik ke darat.

<- Kisah Para Rasul 26Kisah Para Rasul 28 ->