Link to home pageLanguagesLink to all Bible versions on this site
23
1 Paulus merenung perhimpunan itu lalu berkata, ‘Saudara-saudara, dengan setulus hati aku telah melakukan segalanya di sisi Allah sampai hari ini.’ 2 Ananias, imam besar, menyuruh orang yang berdiri di sisi Paulus menampar mulutnya. 3 Paulus berkata kepadanya, ‘Allah akan menampar mulutmu nanti. Kamu seperti tembok yang dicat putih! Kamu sekarang duduk untuk mengadiliku menurut hukum tetapi kamu sendiri melanggar hukum itu dengan menyuruh orang menamparku!’

4 Orang yang berdiri di sisi Paulus berkata, ‘Beranikah kamu mencela imam besar Tuhan?’

5 Paulus menjawab, ‘Saudara-saudara, aku tidak tahu dia itu imam besar. Memang tersurat di dalam Kitab Suci, “Jangan hinakan pemimpin bangsamu.” ’

6 Paulus mengetahui bahawa dalam perhimpunan itu separuhnya orang Saduki dan separuhnya orang Farisi. Dia pun berkata, ‘Saudara-saudara, aku ini orang Farisi dan anak orang Farisi. Aku didakwa kerana percaya akan kebangkitan daripada kematian.’ 7 Dengan demikian orang Farisi dan orang Saduki mula berbahas. Seluruh perhimpunan berpecah kepada dua pihak. 8 Orang Saduki mengatakan bahawa tiada kebangkitan daripada kematian, tiada malaikat dan tiada roh; tetapi orang Farisi percaya akan semuanya.

9 Pertengkaran besar tercetus. Beberapa orang guru Taurat dari pihak orang Farisi bangkit dan menegaskan dengan penuh kesungguhan, ‘Kami dapati orang ini tidak bersalah langsung. Mungkin sekali roh atau malaikat telah bercakap dengannya.’ 10 Perkelahian menjadi begitu sengit sehingga ketua pasukan tentera itu takut kalau-kalau Paulus diserang. Dia menyuruh askar-askar segera mengambil Paulus dengan paksaan dari tengah-tengah orang itu dan membawanya ke dalam kubu.

11 Pada malam berikut itu Tuhan berdiri di sisinya dan berkata, ‘Tetapkanlah hatimu; kerana sebagaimana kamu telah bersaksi tentang-Ku dengan sungguh-sungguh di Baitulmaqdis ini, begitulah kamu akan bersaksi di Rom pula.’

Pakatan Yahudi Baitulmaqdis untuk membunuh Paulus
12 Setelah hari siang, orang Yahudi membuat pakatan. Mereka bersumpah tidak akan makan dan minum hingga mereka membunuh Paulus. 13 Lebih empat puluh orang sepakat mengangkat sumpah itu. 14 Mereka semua menghadap ketua-ketua imam dan para pemimpin masyarakat mereka lalu berkata, ‘Kami telah bersumpah tidak akan makan dan minum hingga kami membunuh Paulus itu. 15 Kamu dan ahli-ahli Majlis Agama tolonglah minta ketua pasukan tentera itu hadapkan Paulus kepada kamu esok, seolah-olah kerana kamu hendak meneliti perkara itu dengan lebih halus lagi. Kami akan bersedia untuk membunuhnya sebelum dia sampai ke sini.’

16 Anak saudara Paulus mendengar tentang pakatan itu lalu masuk ke kubu memberitahunya.

17 Paulus memanggil dan berkata kepada seorang ketua tentera, ‘Bawalah pemuda ini kepada ketua pasukan tentera kerana ada suatu perkara yang hendak dikatakan kepadanya.’ 18 Pegawai itu membawa pemuda itu berjumpa ketuanya lalu berkata, ‘Paulus, orang yang terpenjara itu, memanggilku dan meminta pemuda ini dibawa berjumpa tuan kerana ada suatu perkara yang hendak dikatakannya kepada tuan.’

19 Ketua pasukan tentera memegang tangan pemuda itu dan membawanya ke tempat yang sunyi lalu bertanya, ‘Apa hal yang hendak kaukatakan kepadaku itu?’

20 Pemuda itu berkata, ‘Orang Yahudi telah berpakat hendak meminta tuan membawa Paulus menghadap Majlis Agama esok, seolah-olah hendak meneliti halnya lebih halus lagi. 21 Janganlah tuan terpedaya oleh kata-kata mereka, kerana lebih empat puluh orang daripada mereka telah bersumpah tidak akan makan dan minum hingga mereka membunuh Paulus. Mereka akan membunuhnya sebelum dia sampai ke hadapan Majlis Agama itu. Sekarang pun mereka semua sudah sedia menantikan tuan berjanji demikian.’

22 Ketua pasukan tentera itu menyuruh pemuda itu pulang setelah berpesan, ‘Jangan beritahu sesiapapun bahawa kamu telah menyatakan hal ini kepadaku.’

Paulus dibawa ke Kaisarea
23 Kemudian dia memanggil dua orang ketua tentera lalu berkata, ‘Lengkapkan dua ratus orang askar untuk pergi ke Kaisarea; askar bertombak dua ratus orang dan askar berkuda tujuh puluh. Mereka mesti bertolak pada pukul sembilan malam ini.’ 24 Ketua tentera itu juga menyuruh melengkapkan kenderaan dan menaikkan Paulus ke atasnya untuk dibawa kepada Feliks, pemerintah negeri, dengan selamat.

25 Ketua tentera itu menulis surat seperti berikut:

 
26 ‘Salam daripadaku, Klaudius Lisias,
kepada Feliks, pemerintah yang amat mulia.
 
27 ‘Orang ini telah ditangkap oleh orang Yahudi. Mereka hendak membunuhnya, lalu aku datang dengan askar-askar dan menyelamatkannya. Aku mendapat tahu dia warganegara Rom. 28 Aku ingin mengetahui apa sebabnya dia dituduh oleh bangsanya. Oleh itu aku membawanya untuk menghadap Majlis Agama mereka. 29 Aku mendapati dia tertuduh atas beberapa pertikaian tentang hukum agama; tetapi tiada suatu tuduhan pun yang patut dihukum bunuh atau penjara. 30 Apabila aku diberitahu tentang suatu pakatan hendak membunuh orang ini, aku segera menghantarkannya kepada tuan. Aku berpesan kepada mereka yang menuduhnya supaya mendakwanya di hadapan tuan.’
 
31 Askar-askar mengambil Paulus sebagaimana diarahkan lalu membawanya pada waktu malam ke Antipatris. 32 Esoknya askar berkuda sahaja meneruskan perjalanan bersama Paulus manakala askar yang lain pulang ke Baitulmaqdis. 33 Setelah sampai ke Kaisarea, surat itu dipersembahkan kepada pemerintah dan Paulus pun dihadapkan kepadanya. 34 Selepas membaca surat itu, pemerintah itu bertanya kepada Paulus di mana negeri asalnya. Apabila dia mendengar bahawa Paulus orang Kilikia, 35 dia berkata, ‘Aku akan mengadili perkara ini setelah pendakwa-pendakwa kamu sampai.’ Kemudian dia mengarahkan supaya Paulus ditahan di dalam istana yang dulu dibina oleh Herodes.

<- Kisah Para Rasul 22Kisah Para Rasul 24 ->