4 Oleh yang demikian, Petrus menerangkan segala yang telah berlaku, satu persatu: 5 ‘Ketika aku sedang berdoa di Yope, aku telah melihat satu penglihatan. Aku melihat sesuatu seperti kain yang amat lebar, terikat keempat-empat penjurunya, diturunkan dari langit lalu terletak dekat denganku. 6 Aku memerhatikannya lalu melihat binatang yang berkaki empat, yang liar dan yang melata, juga burung-burung. 7 Aku mendengar suara berkata, “Hai Petrus, bangunlah, sembelih dan makanlah.”
8 ‘Aku berkata, “Ya Tuhan, jangan demikian, aku belum pernah makan barang yang haram atau najis.”
9 ‘Suara itu berkata pula kepadaku, “Barang yang dihalalkan oleh Allah, jangan kau haramkan.” 10 Ini berulang tiga kali, kemudian semuanya terangkat naik semula ke langit.
11 ‘Pada ketika itu tiga orang yang diutus dari Kaisarea kepadaku berdiri di hadapan rumah yang kami tumpang. 12 Roh Suci menyuruh aku pergi bersama mereka tanpa ragu-ragu. Enam orang saudara seiman di Yope menyertaiku ke Kaisarea lalu kami masuk ke rumah Kornelius. 13 Kornelius bercerita kepada kami bahawa dia telah melihat malaikat berdiri di hadapannya di rumahnya dan berkata kepadanya, “Suruhlah orang pergi ke Yope memanggil seorang bernama Simon bergelar Petrus. 14 Dia akan menyampaikan perkhabaran yang menyelamatkan kamu sekeluarga.”
15 ‘Apabila aku mula bercakap, Roh Suci memenuhi mereka, seperti yang terjadi kepada kita dahulu. 16 Ketika itu aku teringat kata-kata Junjungan: “Yahya mengimadkan dengan air, tetapi kamu akan diimadkan dengan Roh Suci.” 17 Jelaslah bahawa Allah telah memberi orang asing itu kurnia yang sama seperti yang kita terima ketika kita beriman kepada Junjungan Isa al-Masih. Siapakah aku untuk cuba menghalang kuasa Allah?’
18 Setelah mendengar penjelasan Petrus, mereka tidak membantah perbuatannya lagi, lantas mereka memuji Allah dan berkata, ‘Kalau begitu, Allah memberikan peluang kepada orang bukan bani Israel juga untuk bertaubat dan mendapat hidup.’
22 Jemaah di Baitulmaqdis mendengar hal itu lalu menyuruh Barnabas pergi ke Antiokhia. 23 Setelah dia sampai dan melihat kasih kurnia Allah itu, dia amat sukacita dan menggalakkan mereka semua supaya meneguhkan azam untuk tetap setia kepada Tuhan. 24 Barnabas orang baik, penuh dengan Roh Suci dan iman. Semakin bertambahlah bilangan orang yang percaya akan Tuhan.
25 Kemudian Barnabas pergi ke Tarsus mencari Saul; 26 setelah menemuinya, dibawanya ke Antiokhia. Selama setahun kedua-duanya berserta dengan jemaah dan mengajar ramai orang. Di Antiokhialah para pengikut mula-mula disebut Masihi.
27 Pada masa itu beberapa orang nabi turun dari Baitulmaqdis ke Antiokhia. 28 Seorang yang bernama Agabus bernubuat dengan ilham Roh Suci bahawa bencana kebuluran akan melanda seluruh dunia; ini sesungguhnya terjadi pada zaman Klaudius. 29 Para pengikut Isa membuat keputusan hendak menghantar bantuan, menurut kemampuan masing-masing, kepada saudara-saudara di Yudea. 30 Mereka mengirimkannya kepada tua-tua melalui Barnabas dan Saul.
<- Kisah Para Rasul 10Kisah Para Rasul 12 ->