1 Di hadapan Allah dan Isa al-Masih yang akan menghakimi mereka yang hidup dan yang mati, dan demi kedatangan-Nya serta kerajaan-Nya, aku menyerumu: 2 Beritakanlah firman Allah, bersedialah pada setiap masa, baik masanya sesuai mahupun tidak. Tunjukkan apa yang salah, tegur dan nasihati mereka dengan seluruh kesabaran dan ajaran, 3 kerana akan sampai masanya mereka tidak menerima ajaran yang benar, tetapi mengumpulkan ramai guru mengikut kehendak mereka sendiri untuk mengajar apa yang ingin didengar oleh mereka. 4 Mereka enggan mendengar ajaran yang benar tetapi menumpukan perhatian kepada cerita-cerita dongeng. 5 Tetapi kamu, waspadalah dalam segala hal, tabah menanggung kesusahan, jalankan kerja menyebarkan Injil dan laksanakan tugas yang diamanahkan kepadamu dengan sempurna.
6 Tentang diriku, kini aku laksana minuman yang sedang dituangkan sebagai persembahan kepada Allah, dan sudah hampir masanya aku pergi menghadap-Nya. 7 Aku telah berjuang dalam perjuangan mulia ini, aku telah sampai ke garis akhir, aku telah setia dalam iman. 8 Sekarang mahkota kebenaran telah disediakan untukku. Junjungan, hakim yang adil itu, akan mengurniakannya kepadaku pada Hari itu, bukan kepadaku sahaja, tetapi kepada semua orang yang telah menunggu kedatangan-Nya dengan penuh rindu.
14 Iskandar, tukang tembaga itu, telah banyak melakukan kejahatan terhadapku. Semoga Tuhan membalasnya setimpal dengan perbuatannya. 15 Kamu juga harus waspada dengannya, kerana dia menentang keras perkhabaran kita.
16 Ketika aku membela diriku pada kali pertama, tiada seorang pun berdiri di sisiku, semuanya meninggalkanku. Semoga Allah tidak menyalahkan mereka kerananya. 17 Tetapi Tuhan menyertaiku dan memberiku kekuatan, supaya berita baik dapat disebarkan sepenuhnya melaluiku, dan semua orang bukan bani Israel dapat mendengarnya. Juga aku telah diselamatkan daripada mulut singa. 18 Tuhan akan menyelamatkanku daripada segala perbuatan durjana dan memeliharaku untuk kerajaan-Nya di syurga. Segala kemuliaan bagi-Nya untuk selama-lamanya. Amin.
22 Semoga Tuhan bersama rohmu. Semoga kasih kurnia Allah menyertaimu.
<- 2 Timotius 3