4 Allah tidak melepaskan malaikat yang berdosa daripada hukuman, tetapi menghumbankan mereka ke neraka dan membelenggu mereka dalam kegelapan untuk dihakimi kelak. 5 Dan Allah juga tidak melepaskan dunia purba daripada hukuman. Allah hanya menyelamatkan Nuh, penyampai kebenaran dengan tujuh orang yang lain, ketika Dia mendatangkan air bah kepada semua manusia yang ingkar. 6 Allah telah memusnahkan kota Sodom dan Gomora sehingga menjadi abu, membinasakan penduduknya sebagai contoh hukuman terhadap orang yang ingkar. 7 Tetapi Allah menyelamatkan Lut, seorang yang benar, yang berdukacita kerana kelakuan cabul orang durjana 8 (jiwa Lut yang benar terseksa dari hari ke hari melihat dan mendengar perlakuan liar orang di kelilingnya). 9 Nyatalah bahawa Tuhan mengetahui cara membebaskan orang yang warak daripada godaan dan mengasingkan orang durjana untuk dihukum pada hari penghakiman, 10 terutamanya mereka yang menurut hawa nafsu cabul dan menghina kekuasaan Allah.
13 Mereka akan menerima balasan perbuatan maksiat mereka seperti bersuka ria pada siang hari untuk memuaskan hawa nafsu. Mereka dipenuhi cacat cela dan bergembira memperdayamu sambil berjamu bersamamu. 14 Mata mereka dipenuhi nafsu cabul dan sentiasa berdosa, menggoda orang yang goyah imannya, hati mereka dikuasai tamak haloba dan mereka anak-anak yang terlaknat. 15 Mereka telah meninggalkan jalan yang benar lalu sesat mengikut jalan Bileam anak Bior, yang suka mendapat upah daripada kejahatan. 16 Tetapi dia telah ditegur kerana perbuatan jahatnya oleh seekor keldai yang bercakap dengan suara manusia lalu menjadikan Bileam waras semula.
17 Mereka ini ibarat mata air yang kering dan kabus yang ditiup ribut. Kegelapan yang hitam pekat tersedia untuk mereka. 18 Apabila mereka mengeluarkan kata-kata yang hebat tetapi kosong, mereka menggunakan hawa nafsu dan keinginan cabul untuk menggoda orang yang baru terlepas daripada golongan yang hidup sesat. 19 Mereka menjanjikan kebebasan, sedangkan mereka sendiri hamba kebinasaan – kerana seseorang yang dikalahkan itu menjadi hamba kepada yang mengalahkannya. 20 Sekiranya, seseorang telah terlepas daripada noda dunia dengan mengenal Junjungan dan Penyelamat kita Isa al-Masih, kemudian terjebak semula lalu tewas, maka keadaannya lebih buruk daripada sebelum dia mengenal al-Masih. 21 Lebih baiklah jika dia tidak mengenal jalan yang benar, daripada mengenalnya, dan kemudian membelakangi perintah suci yang telah disampaikan kepadanya. 22 Yang terjadi kepadanya itu seperti kata pepatah yang terbukti tepat: ‘Anjing akan menjilat muntahnya kembali,’ dan ‘Babi yang dimandikan akan berkubang semula di lumpur.’
<- 2 Petrus 12 Petrus 3 ->