1 Kepada tua-tua jemaah di kalanganmu, kutujukan pesanan ini. Aku, sebagai seorang tua-tua juga yang telah menyaksikan penderitaan al-Masih dan yang akan turut dimuliakan apabila kemuliaan-Nya ternyata, menyerumu: 2 Jagalah jemaah Allah sekitarmu seperti gembala menjaga kawanan domba. Awasi mereka – bukan secara terpaksa tetapi dengan rela; bukan untuk mendapat keuntungan yang tidak wajar, tetapi dengan sepenuh hati; 3 bukan sebagai tuan bagi mereka yang diamanahkan kepadamu, tetapi sebagai teladan untuk mereka. 4 Apabila Gembala Agung datang kelak, kamu akan menerima mahkota kemuliaan yang kekal.
5 Demikian juga kamu, orang muda, tunduklah kepada orang tua yang memimpinmu. Ya, kamu semua hendaklah saling menghormati dan merendah diri, kerana,
‘Allah menentang orang yang angkuh
tetapi menganugerahi orang yang
rendah hati.’
6 Oleh itu, rendahkan dirimu di bawah kuasa Allah, supaya kamu ditinggikan-Nya pada waktu yang telah ditetapkan. 7 Serahkan segala kerunsinganmu kepada Allah, kerana Dia mengambil berat tentangmu.
8 Kawallah dirimu dan berwaspadalah, kerana musuhmu Iblis merayau seperti singa yang mengaum mencari mangsa. 9 Lawanlah Iblis dengan iman yang teguh. Kamu tahu bahawa penderitaan yang sama sedang ditanggung oleh saudara-saudara seimanmu serata dunia.
10 Tetapi setelah kamu menderita beberapa waktu, Allah, sumber segala kasih kurnia, yang telah memanggil kamu untuk turut menikmati kemuliaan-Nya yang kekal, akan menyempurnakan, menegakkan, mengukuhkan dan menenteramkan kamu. 11 Bagi Allah segala kemuliaan dan kekuasaan selama-lamanya. Amin.
Salam akhir
12 Aku menulis surat ringkas ini kepadamu dengan pertolongan Silwanus, yang kuanggap saudara kita yang setia. Tujuanku ialah menasihatimu dan memberi ringkasan kesaksianku bahawa inilah kasih kurnia sejati daripada Allah untukmu. Berdiri teguhlah di dalamnya.
13 Jemaah di Babel, yang sepertimu juga dipilih Allah, berkirim salam kepadamu, begitu juga anakku Markus. 14 Bersalamanlah dengan kasih sayang.
Selamat sejahtera kepada kamu semua milik al-Masih.
<- 1 Petrus 4