Link to home pageLanguagesLink to all Bible versions on this site

1 Petrus

1 Daripada Petrus, rasul Isa al-Masih,

Kepada umat pilihan Allah yang tinggal merata-rata di Pontus, Galatia, Kapadokia, Asia dan Bitinia. 2 Kamu terpilih menurut rancangan Allah Bapa, dijadikan umat-Nya dengan Roh Suci, supaya taat akan Isa al-Masih dan disucikan dengan darah-Nya:
Semoga kamu dilimpahi kasih kurnia dan damai sejahtera daripada Allah.
Harapan dan iman
3 Puji bagi Allah, Bapa Junjungan kita Isa al-Masih! Kerana belas kasihan-Nya yang amat besar Dia telah mengurniai kita kelahiran baru dengan membangkitkan Isa al-Masih daripada kematian. Dengan demikian, kita hidup dengan harapan yang tidak akan binasa, dan 4 kita mengharapkan warisan yang tidak mungkin reput, tercemar atau lenyap – disimpan untukmu di syurga. 5 Kamu dipelihara dengan kuasa Allah, melalui iman untuk penyelamatan yang akan ternyata sepenuhnya pada akhir zaman. 6 Oleh yang demikian bersukacitalah, meskipun sekarang untuk seketika mungkin kamu berdukacita kerana menghadapi pelbagai cubaan. 7 Segalanya ini untuk menguji imanmu yang lebih berharga daripada emas, kerana emas tetap musnah walaupun telah diuji dengan api. Imanmu kelak ternyata tulen dan akan mendapat puji, penghormatan serta kemuliaan apabila Isa al-Masih datang kembali. 8 Kamu mengasihi-Nya walaupun belum pernah melihat-Nya. Kamu percaya kepada-Nya tanpa melihat-Nya. Oleh itu, kamu merasa kebahagiaan yang tidak terkata dan penuh dengan kemuliaan 9 kerana kamu akan mencapai matlamat imanmu, iaitu penyelamatan jiwamu.

10 Nabi-nabi telah mengkaji penyelamatan ini dan bernubuat tentang kasih kurnia Allah kepadamu. 11 Roh al-Masih yang ada pada nabi-nabi bernubuat tentang penderitaan al-Masih dan kemuliaan-Nya kelak. Mereka berusaha untuk mengetahui bila dan bagaimana perkara itu akan terjadi. 12 Allah telah menyatakan kepada nabi-nabi bahawa segala yang dilakukan oleh mereka itu bukan untuk mereka tetapi untuk kita. Sekarang perkara yang disampaikan oleh nabi-nabi itu telah kamu dengar melalui Injil yang diisytiharkan dengan kuasa Roh Suci dari syurga. Para malaikat juga ingin mengerti perkara itu.

Hendaklah kamu suci
13 Oleh yang demikian, bersedialah, berjaga-jaga dan sandarkanlah harapan kepada kasih kurnia yang akan kamu terima apabila Isa al-Masih datang kembali. 14 Jadilah anak-anak yang taat akan Allah, dan janganlah hidup mengikut nafsumu seperti dahulu, sebelum kamu mengenal-Nya. 15 Pastikanlah segala perbuatanmu suci, sebagaimana Tuhan yang memanggilmu itu suci. 16 Ada tersurat di dalam Kitab Suci, ‘Hendaklah kamu suci, kerana Aku suci.’

17 Jika kamu berdoa kepada Allah Bapa, yang menghakimi manusia dengan adil menurut perbuatan masing-masing, maka sepanjang hayatmu di dunia ini takuti dan patuhilah Dia. 18 Kamu mengetahui bahawa untuk membebaskanmu daripada hidup sia-sia warisan nenek moyangmu, tebusannya bukanlah sesuatu yang dapat dibinasakan seperti perak atau emas 19 tetapi darah al-Masih yang amat berharga, darah anak domba yang tiada cacat celanya. 20 Dia telah ditetapkan sebelum dunia dicipta, tetapi dinyatakan pada akhir zaman ini untukmu. 21 Melalui-Nya kamu percaya kepada Allah, yang telah membangkitkan-Nya daripada kematian dan memberi-Nya kemuliaan, supaya kamu beriman dan berharap kepada Allah.

22 Oleh sebab kamu telah menyucikan rohmu dalam mematuhi kebenaran supaya mempunyai kasih yang ikhlas kepada saudara-saudara seimanmu, maka kasihilah satu sama lain dengan sepenuh perasaan dan suci hati; 23 kerana kamu telah dilahirkan semula, bukan daripada benih yang dapat dibinasakan tetapi daripada yang tidak mungkin dimusnahkan, melalui firman Allah yang hidup kekal selama-lamanya. 24 Kerana,

 
‘Semua jasad umpama rumput,
dan semua kemuliaan manusia bak
bunga di padang;
rumput akan layu, dan bunganya akan gugur,
25 tetapi firman Tuhan kekal
selama-lamanya.’
 
Inilah firman yang disampaikan kepadamu.

1 Petrus 2 ->