1 Anak-anakku, aku menuliskan hal-hal ini kepadamu supaya kamu tidak berbuat dosa. Dan jika sesiapa berbuat dosa, kita mempunyai seorang Pembela ke hadirat Allah Bapa, iaitu Isa al-Masih Yang Benar itu. 2 Dialah korban pendamaian bagi dosa kita, malah bukan dosa kita sahaja tetapi dosa seluruh umat manusia.
3 Jika kita taat akan perintah Allah, benarlah kita mengenal-Nya. 4 Sekiranya seseorang berkata, ‘Aku mengenal Allah,’ tetapi tidak taat akan perintah-Nya, maka dia seorang pendusta dan kebenaran tidak ada di dalam dirinya. 5 Tetapi jika sesiapa taat akan firman Allah, maka sempurnalah kasih Allah di dalam orang itu. Dengan demikian kita ketahui kita ada di dalam Dia: 6 Sesiapa berkata bahawa dia tetap di dalam Allah, hendaklah dia menurut jejak langkah al-Masih.
7 Sahabat-sahabat yang kukasihi, perintah yang kutulis ini bukanlah perintah baru. Perintah ini perintah lama, yang telah kamu terima dari mulanya. Perintah lama ini firman Allah yang telah kamu dengar. 8 Namun demikian, perintah yang kutulis ini tetap baru: Kebenarannya ternyata pada diri al-Masih dan dirimu. Ini disebabkan kegelapan hampir berlalu dan cahaya yang benar telah pun bersinar.
9 Sesiapa yang berkata bahawa dia hidup dalam cahaya tetapi dia benci akan saudaranya, maka dia tetap berada dalam kegelapan hingga sekarang. 10 Sesiapa yang kasih akan saudaranya hidup di dalam cahaya dan dalam dirinya tidak ada sesuatu pun yang dapat membuatnya kecundang. 11 Tetapi sesiapa yang benci akan saudaranya hidup dalam kegelapan. Dia melangkah dalam kegelapan dan tidak tahu ke mana hala tujunya, kerana kegelapan telah membutakannya.
20 Kamu telah menerima pengurapan Roh Suci, maka kamu mengenal kebenaran. 21 Aku menulis kepadamu bukan kerana kamu tidak mengenal kebenaran tetapi kerana kamu mengenalnya. Kamu juga tahu bahawa yang dusta tidak berasal daripada yang benar. 22 Sesiapa yang mengatakan bahawa Isa bukan al-Masih, dialah pendusta. Orang itu tidak mengakui Bapa dan Putera-Nya, dan dialah dajal, penentang al-Masih. 23 Sesiapa yang tidak mengakui Putera, maka dia juga tidak mengakui Bapa. Sesiapa yang menerima Putera, maka dia juga menerima Bapa.
24 Oleh yang demikian, pastikan perkhabaran yang kamu dengar dari mulanya tetap ada dalam dirimu. Jika perkhabaran itu tetap ada dalam dirimu, kamu akan sentiasa tetap di dalam Putera dan juga di dalam Bapa. 25 Inilah yang dijanjikan kepada kita, iaitu hidup yang kekal.
26 Aku menulis kepadamu tentang mereka yang hendak menyesatkanmu. 27 Tetapi bagi kamu, kurnia Roh yang kamu terima daripada-Nya itu tetap ada dalam dirimu. Kamu tidak memerlukan ajaran daripada sesiapapun, kerana Roh-Nya telah mengajar segalanya kepadamu, dan segalanya benar, tidak ada yang dusta. Oleh itu, tetaplah kamu di dalam Dia.
29 Jika kamu tahu bahawa Dia itu benar, maka kamu harus tahu bahawa orang yang melakukan kebenaran telah menerima hidup baru daripada Allah.
<- 1 Yahya 11 Yahya 3 ->