8 Kepada yang belum berkahwin dan kepada wanita yang telah menjadi balu. Inilah nasihatku: Memang baik kamu terus hidup sendirian seperti aku. 9 Tetapi sekiranya kamu tidak dapat menahan nafsu, berkahwinlah. Ini lebih baik daripada membiarkan hawa nafsu bergelora.
10 Kepada yang sudah berkahwin, inilah perintahku, yang sebenarnya bukan perintah aku tetapi perintah Tuhan. Seorang isteri tidak boleh meninggalkan suaminya. 11 Tetapi jika seorang isteri telah meninggalkan suaminya, dia mesti terus hidup bersendirian, atau dia boleh balik kepada suaminya. Seorang suami tidak boleh menceraikan isterinya.
12 Kepada yang lain aku memberikan nasihat ini, iaitu nasihatku sendiri, bukan perintah Allah: Jika seorang lelaki beriman mempunyai isteri yang tidak beriman dan isteri itu bersetuju terus hidup bersamanya, maka lelaki itu tidak boleh menceraikan isterinya. 13 Jika seorang wanita beriman mempunyai suami yang tidak beriman dan suami itu bersetuju untuk terus hidup bersamanya, maka wanita itu tidak boleh menceraikan suaminya. 14 Seorang suami yang tidak beriman menjadi suci kerana isterinya. Demikian juga, seorang isteri yang tidak beriman menjadi suci kerana suami. Jika tidak, anak-anakmu akan menjadi anak-anak yang tercela. Tetapi dengan demikian mereka adalah anak-anak yang suci.
15 Namun demikian, jika seseorang yang tidak beriman hendak meninggalkan isteri atau suaminya yang beriman, biarkanlah dia berbuat demikian. Jika ini terjadi, suami atau isteri yang beriman itu bebas membuat pilihan. Allah mahu kamu semua hidup aman damai. 16 Wahai isteri yang beriman, bagaimana kamu boleh pasti bahawa kamu tidak akan dapat menyelamatkan suamimu? Demikian juga, wahai suami yang beriman, bagaimana kamu boleh pasti bahawa kamu tidak akan dapat menyelamatkan isterimu?
25 Tuhan tidak memberiku perintah tentang orang yang belum kahwin; tetapi aku menasihatimu, kerana dengan belas kasihan Tuhan aku boleh dipercayai. 26 Oleh sebab kini kita diancam pelbagai pancaroba, aku yakin bahawa setiap lelaki baiklah meneruskan hidup dalam keadaannya sekarang. 27 Sekiranya kamu sudah beristeri, janganlah cuba menceraikan isterimu. Jika kamu belum beristeri, usahlah berkahwin. 28 Namun, kalau kamu berkahwin, kamu tidaklah berdosa. Demikian juga, jika seorang gadis berkahwin, dia tidak berdosa. Tetapi orang yang berkahwin banyak menghadapi masalah; aku mahu kamu bebas daripada masalah itu.
29 Saudara-saudaraku, maksudku demikian: Masa kita sudah semakin suntuk. Mulai sekarang, setiap lelaki yang beristeri, hiduplah seolah-olah tidak beristeri; 30 orang yang menangis, hiduplah seolah-olah tidak bersedih; orang yang tertawa, hiduplah seolah-olah tidak gembira; orang yang membeli barang, sifatkanlah seolah-olah barang yang dibeli itu tidak dimiliknya; 31 Orang yang menggunakan barang-barang yang ada di dunia seolah-olah tidak menggunakannya kerana dunia dalam keadaan sekarang sedang lenyap.
32 Aku mahu kamu bebas daripada kerunsingan. Seorang yang tidak beristeri akan menumpukan minat kepada hal-hal ketuhanan untuk mendapat keredaan-Nya. 33 Sebaliknya, seorang yang mempunyai isteri akan menumpukan perhatian kepada hal-hal duniawi untuk menggembirakan isterinya. 34 Dengan demikian perasaannya berbelah-bagi. Seorang wanita atau gadis yang tidak bersuami menumpukan minatnya kepada hal-hal ketuhanan kerana ingin mengabdikan seluruh dirinya kepada Tuhan. Tetapi seorang wanita yang telah bersuami akan memusatkan perhatian kepada hal-hal duniawi untuk menyukakan hati suaminya. 35 Aku menasihati kamu demikian untuk menolongmu. Aku tidak mahu melarangmu membuat itu dan ini. Aku ingin kamu melakukan apa yang wajar dan mengabdikan diri sepenuh hati kepada Tuhan.
36 Sekiranya seorang lelaki merasa dia tidak adil terhadap tunangnya, dan jika gadis itu semakin meningkat usianya, dan dia merasa dia patut berkahwin dengan gadis itu, maka dia harus bertindak menurut hasratnya. Dia tidaklah berdosa jika berkahwin. 37 Tetapi jika seorang lelaki dengan kerelaannya sendiri mengambil keputusan tidak akan berkahwin dengan gadis tunangnya itu, dan dia dapat mengawal nafsunya, serta tahu apa yang akan dilakukannya, maka lebih baiklah dia tidak berkahwin. 38 Tegasnya, berkahwin itu baik, tetapi tidak berkahwin lebih baik lagi.
39 Seorang wanita yang telah berkahwin terikat kepada suaminya hanya sepanjang hayat suaminya itu. Setelah suaminya meninggal dunia, wanita itu bebas berkahwin lagi dengan sesiapa sahaja lelaki pilihannya asalkan dia seorang beriman. 40 Tetapi wanita itu akan lebih berbahagia jika tidak berkahwin lagi. Ini fikiranku sendiri, tetapi aku yakin aku mendapat panduan daripada Roh Allah.
<- 1 Korintus 61 Korintus 8 ->