6 Kamu tidak harus bermegah. Tentu kamu mengenal pepatah ini: ‘Sedikit ragi mencemari seluruh adunan.’ 7 Buanglah ragi lama supaya kamu menjadi adunan baru tanpa ragi. Aku tahu bahawa kamu sebenarnya begitu. Kerana al-Masih, domba Paska kita telah dikorbankan. 8 Marilah kita sambut perayaan Paska bukan dengan ragi yang lama, ragi lambang kejahatan dan kezaliman, melainkan dengan roti yang tidak beragi, iaitu ketulusan hati dan keikhlasan.
9 Dalam suratku yang lalu, aku telah menyerumu supaya menjauhkan diri daripada orang yang cabul. 10 Orang cabul yang kumaksudkan bukanlah yang tidak mengenal Allah maka berkelakuan cabul, tamak, menipu dan menyembah berhala. Untuk menjauhkan diri daripada mereka ini, terpaksalah kamu keluar dari dunia ini. 11 Maksudku ialah kamu tidak harus bergaul dengan orang yang mengaku dirinya sebagai saudara tetapi pada hakikatnya orang yang cabul, tamak, penyembah berhala, pengumpat, pemabuk atau penipu. Janganlah makan bersama mereka.
12 Apakah urusanku sehingga aku harus mengadili orang di luar jemaah? Bukankah kamu hanya mengadili orang di dalam jemaah saja? 13 Tetapi bagi yang di luar jemaah, Allah sendiri akan mengadili mereka. Oleh itu, kamu harus singkirkan orang yang durjana dari kalanganmu.
<- 1 Korintus 41 Korintus 6 ->